Muammar Gaddafi
Sewajarnya sistem kuasa veto Malis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah lama dirombak dan digantikan dengan sistem yang lebih demokratik. Ini kerana tidak ada alasan kenapa lima kuasa besar; Amerika Syarikat (AS), Rusia, China, Britain dan Perancis diberi kuasa veto.
Sebenarnya amalan kuasa veto ini dimulakan selepas Perang Dunia Kedua dulu. Ternyata sistem ini memperlihatkan struktur yang sudah tidak relevan dengan keadaan semasa. Malah telah disalahgunakan seperti dalam isu serangan AS ke atas Iraq dan Israel menyerang Palestin.
Kelantangan Dr. Mahathir pada persidangan itu membuktikan kewibawaan PBB perlu dipulihkan dengan segera dan jangan membiarkan sesebuah negara mendominasi badan dunia itu untuk kepentingan tertentu. Caranya ialah menghapuskan sistem kuasa veto dan digantikan dengan sistem lain yang lebih adil.
Kekecewaan Dr. Mahathir dilangsungkan oleh Presiden Libya, Muammar Gaddafi pada Perhimpunan Agung PBB di New York Khamis lalu. Gaddafi mengambil pendekatan yang lebih radikal untuk menyatakan kekecewaan dan kemarahan terhadap amalan memberi kuasa veto kepada lima kuasa besar dalam Majlis Keselamatan PBB.
Gaddafi mengoyak kulit depan Piagam PBB semasa memberi ucapan di hadapan pemimpin-pemimpin dunia. Kemudian kertas itu dibaling ke podium ke arah pemimpin kuasa besar dunia yang telah sekian lama mencabuli matlamat kewujudan badan dunia itu. Demikian hinanya pemimpin-pemimpin yang bersekongkol dengan AS atas nama PBB untuk menindas negara-negara kuasa kecil dan miskin.
Podium PBB adalah premis yang penuh hormat dan mulia. Podium itu juga menjadi pentas sandiwara kuasa besar menggunakan lesen “membunuh” yang dikeluarkan atas nama Majlis Keselamatan PBB. Maka dunia telah lama hilang kepercayaan dan rasa hormat kepada PBB.
Mengoyak piagam PBB di majlis rasmi PBB memberikan signifikan keruntuhan badan dunia itu dan maruahnya telah dipijak oleh pemimpin negara Islam yang berani dan radikal. Belum pernah dalam sejarah PBB pemimpin sebuah negara mengoyak piagam dan mencampakkan kepada pemimpin dunia di belakangnya. Sejarah hina PBB akhirnya tercipta biarpun kebanyakan agensi berita Barat melaporkan tindakan itu kurang ajar.
Kita wajar berbangga dan berterima kasih kepada Gaddafi yang berani bertindak “kurang ajar” demi menyedarkan pemimpin kuasa besar yang mendominasi PBB. Gaddafi sebenarnya melangsungkan kritikan keras Dr. Mahathir enam tahun lalu. Gaddafi tentunya tidak berhasrat untuk pergi makan angin ke New York buat kali pertama sejak memerintah Libya 40 tahun lalu. Gaddafi memulaukan PBB kerana badan dunia itu dipimpin oleh kuasa besar besar yang tidak prihatin kepada negara-negara kuasa kecil.
Ketika Gaddafi mengesahkan kehadirannya ke perhimpunan tahunan itu, pelbagai spekulasi dibahaskan kalangan pemerhati politik antarabangsa. Apa lagi Gaddafi dengan keunikannya menginap dalam khemah, bukan hotel mewah seperti pemimpin negara-negara lain. Kenapa tahun ke-40 pemerintahannya Gaddafi mahu memijakkan kaki ke PBB?
Tambahan pula tahun ini pemimpin kontroversi Iran, Mahmoud Ahmadinejad juga mengesahkan kehadiran ke PBB. Kehadiran Ahmadinejad juga mencetuskan persoalan sekaligus kebimbangan tentang tindakan radikalnya. Kehadiran dua pemimpin radikal ini memberikan warna yang menarik kepada perhimpunan yang membincangkan isu retorik tentang perpaduan global. Ini adalah isu yang sangat lesu kerana PBB sendiri memperlihatkan rekod kegagalan yang memalukan untuk menyelesaikan pertelingkahan dan peperangan.
Kerana itu kehadiran Gaddafi ke PBB kali ini tentulah membawa masalah yang melingkari negara-negara kuasa kecil iaitu serangan daripada kuasa-kuasa besar. Negara seperti AS, Rusia, China, Britain dan Perancis menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan PBB mempunyai kuasa veto. Di tangan pemimpin negara-negara inilah terletaknya perpaduan global. Tetapi mereka tidak berfungsi dan lebih buruk lagi menjadikan badan dunia sebagai lesen untuk menyerang negara lain.
Ironiknya ketika pemimpin- pemimpin kuasa besar ini menyeru ke arah perpaduan global, Gaddafi dengan berani mengkritik wujudnya monopoli dalam Majlis Keselamatan PBB yang memberi kuasa veto kepada lima negara berkenaan. Memang wajar Gaddafi mengoyak piagam PBB dan mencampakkan ke podium.
Pemimpin-pemimpin dunia khususnya yang menjadi pak turut dan penakut untuk bersuara tidak boleh menganggap tindakan spontan Gaddafi itu suatu yang kurang ajar. Mereka kena menghayati tindakan Gaddafi yang radikal itu sebagai satu mesej kepada PBB. Mesej juga boleh disampaikan dengan perbuatan. Tindakan ini memang mengejutkan dan sememangnya PBB mesti dikejutkan apabila badan dunia itu hilang arah.
Ini memperlihatkan ketidaksamaan dalam majlis keselamatan itu hingga memangsakan negara-negara yang bukan sekutu mereka. Gelaran yang diberikan Gaddafi bahawa Majlis Keselamatan PBB sebenarnya “majlis keganasan” sangat berasas. Kalau kita menoleh antaranya tindakan AS menyerang Iraq, Afghanistan serta mengugut menyerang Iran atas alasan sebagai paksi keganasan dan senjata nuklear. Kuasa veto yang diberikan oleh Majlis Keselamatan PBB yang menindas negara-negara berkenaan dan ternyata ia dilakukan secara sangat tidak adil.
Pada perhimpunan PBB itu, Presiden AS Barack Obama juga menjadi begitu retorik apabila meminta penglibatan negara-negara di dunia menzahirkan wawasan tanpa nuklear, mengatasi ancaman perubahan iklim dan krisis kewangan global. PBB mesti berlaku adil dalam isu nuklear kerana yang ditonjolkan ialah Iran dan bukannya Korea Utara atau Israel yang mempunyai senjata nuklear.
Sesekali PBB kena diterajang untuk mengejutkan yang PBB sudah jauh terbabas. Kali ini Gaddafi telah menerajangkan PBB dan beliau tidak perlu memikirkan kesannya kerana sejak 40 tahun lalu Libya tidak pernah sealiran dengan AS yang mendominasi PBB. Tentunya pendekatan Dr. Mahathir berbeza dengan tindakan yang diambil oleh seorang kolonel seperti Gaddafi. Tetapi kecaman dan kritikan Dr. Mahathir juga mengejutkan badan dunia itu.
Ketiadaan Dr. Mahathir di PBB perlu diganti. Kini tentunya tumpuan dilihat kepada Gaddafi dan Ahmadinejad sekalipun mereka mengambil pendekatan yang lebih radikal berbanding Dr. Mahathir. Ahmadinejad tidak bercakap tentang isu nuklear negaranya, sebaliknya mengkritik AS sebagai kapitalis yang merampas tanah penduduk Palestin dan diberikan kepada Israel.
Kegagalan PBB menghalang berlakunya perang membuktikan kuasa veto yang diberikan kepada anggota tetap Majlis Keselamatan PBB telah disalahgunakan dengan sewenang-wenangnya. Majlis Keselamatan PBB gagal waima menghalang Israel daripada membunuh penduduk Palestin yang tidak berdosa. Semua ini berlaku kerana pemegang kuasa veto anti Palestin, Iraq, Iran dan banyak negara Islam yang lain.
Lihatlah bagaimana kuasa-kuasa besar enggan menerima Resolusi 425 PBB yang mengiktirafkan kedaulatan negara Palestin hingga kini. Maka kemarahan Gaddafi kena pada masa dan tempatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan